Saturday 30 March 2013

RESEPI SMOOTHIE ENAK DAN MENYIHATKAN

Ramai yang menyedari faedah baik yang diperoleh daripada nutrisi yang mencukupi untuk tubuh badan. Faktor ini mendorong orang ramai untuk memanfaatkan sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai sumber makanan yang memberi nutrisi lengkap dan menyihatkan. Ada yang mengambilnya begitu sahaja (dimakan mentah) dan ada juga yang digabungkan untuk menghasilkan segelas smoothie yang enak. Bagi penggemar smoothie, tentunya bimbang sekiranya kekerapan menikmati hidangan tersebut boleh memudaratkan kesihatan. Jangan bimbang, ikuti beberapa resepi dibawah yang boleh dicuba. Selain dapat menikmati hidangan smoothie yang enak, ia juga menyihatkan.

Smoothie strawberi dan pisang
Kombinasi buah ini merupakan padanan yang baik untuk segelas smoothie ketika bersarapan mahupun di waktu tengah hari. Hanya dengan menggunakan bahan yang sederhana iaitu 100ml ais dicampur dengan 200ml yogurt asli yang rendah lemak, sebiji buah pisang bersaiz sederhana dan juga secawan strawberi. Tambahkan sesudu besar madu dan lima biji kacang walnut. Kisar kesemua bahan tersebut dan hidangkan sejuk.
Smoothie pisang bersama mentega kacang tanah
Mentega kacang tanah bukan sahaja enak dinikmati bersama roti tetapi juga enak jika ditambahkan bersama pisang untuk segelas smoothie. Caranya, sediakan 100ml ais, 200ml yogurt rendah lemak, sesudu besar mentega kacang, sebiji pisang dan satu sudu teh madu pekat. Campurkan kesemua bahan bersam sedikit susu rendah lemak (jika suka) dan kisar.
Smoothie pisang bersama betik dan kacang walnut
Cukup hanya menyediakan 100ml ais, 200ml yogurt rendah lemak, sebiji pisang, sepotong betik, lima hingga lapan biji kacang walnut dan sesudu kecil serbuk kopi atau serbuk coklat. Campurkan kesemua bahan tadi kecuali serbuk kopi/serbuk coklat dan kisarkan. Masukkan ke dalam gelas smoothie yang telah ditabur dengan serbuk kopi/serbuk coklat.
Smoothie mangga
Warna kuning keemasan diiringi dengan aroma manis buah mangga yang menggoda selera telah menjadikan ia di antara smoothie kegemaran ramai. Rasa enak dan khasiatnya sesuai dijadikan sebagai hidangan yang menyihatkan. Sediakan potongan buah mangga manis, sedikit buah pisang, setengah cawan yogurt rendah lemak, secawan jus oren dan ais secukupnya. Kisar kesemua bahan tadi dan sedia untuk diminum.
Smoothie sarapan
Resepi ini khusus diselitkan di dalam menu sarapan anda. Campurkan segelas yogur rendah lemak, segenggam buah beri dan sepotong pisang segar. Kisar bahan-bahan tadi dan tambahkan sesudu besar biji rami. Untuk rasa lebih sejuk, anda boleh tambahkan ais dan kisar bersama bahan-bahan tadi.

Published with Blogger-droid v2.0.10

No comments:

Post a Comment