Friday 7 June 2013

TIP CANTIK - URAT TIMBUL JEJAS KECANTIKAN KAKI

Malu dan sakit, inilah dua perkataan yang tepat menggambarkan perasaan wanita yang mengalami masalah urat timbul di kaki.
Malah lebih menyakitkn apabila urat yang timbul ini bersimpul menyebabkan seseorang itu menanggung kesakitan dalam jangka masa panjang. Dalam istilah perubatan masalah urat kaki yang timbul dan bersimpul dikenali sebagai vena varikos.
Masalah ini terjadi apabila berlaku kerosakan injap utama dalam salur darah vena (biasanya pada pangkal paha atau lutut) dan salur darah pada kaki menjadi lemah. Urat tersebut berwarna kebiruan atau kehijauan, ia biasanya timbul di bahagian betis, belakang paha dan buku lali. Bagi wanita yang berkulit cerah, urat yang bersimpul dan timbul akan lebih menyerlah atau tampak dengan jelas.
Masalah urat timbul sering berlaku bukan sahaja kepada wanita malah lelaki tidak terkecuali. Ia bukanlah sesuatu yang serius namun jika tidak diatasi dengan penjagaan diri yang betul, masalah tersebut boleh mengundang pelbagai masalah seperti menyukarkan pengerakan dan menyebabkan kesakitan.
Namun usah terlalu bimbang,dibawah dikongsi tip mencegah dan mengatasi urat timbul. Semoga panduan ini dapat membebaskan anda daripada masalah yang boleh menjejaskan penampilan dan keanggunan diri anda.

1. Jika anda terpaksa berdiri atau duduk terlalu lama dek kerana tuntutan kerja, selang selikan dengan senaman ringan seperti menggerakkan kaki dan jari kaki agar perjalanan darah lancar. Senaman ini juga dapat mengelakkan bahagian kaki menjadi kebas.
2. Bagi wanita yang berusia, berehat secukupnya dan sapu minyak angin atau krim panas sebelum tidur sebagai usaha mengurangkan masalah tersebut.
3. Lakukan senaman secara rutin, selain baik untuk kesihatan ia juga membantu anda memiliki berat badan yang ideal.
4. Bagi wanita hamil, lapik kaki dengan bantal agar kedudukan lebih tinggi ketika anda berehat dan tidur. Ia akan membantu merelakskan badan dan mengurangkan tekanan di bahagian kaki.
5. Elakkan memakai kasut bertumit tinggi terlalu lama terutama yang mempunyai tumit halus. Rekaan kasut sebegini memberi tekanan yang tinggi pada bahagian kaki.
6. Anda juga boleh menggunakan stoking khas terutama ketika penerbangan jarak jauh. Ia amat sesuai untuk wanita hamil. Stoking tekanan ini diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi, ia membantu mengurangkan tekanan di bahagian kaki dan meningkatkan aliran darah.
7. Selain itu, anda juga boleh melakukan urutan badan dan urutan refleksologi. Dua rawatan ini meberi kelegaan pada tubuh dan membantu melancarkan perjalanan darah.
8. Jika masalah semakin serius, dapatkan nasihat doktor.

Info - kasut tumit tinggi boleh jadi punca
1. Berdiri atau duduk terlalu lama menyebabkan urat dan otot menjadi tegang.
2. Faktor usia yang semakin meningkat. Ia lebih mudah menyerang golongan berusia 40 tahun ke atas.
3. Lebihan berat badan menyebabkan kaki menanggung lebih banyak beban terutama ketika berjalan.
4. Kehamilan juga menyebabkan berlakunya urat kaki timbul.
5. Keturunan
6. Memakai kasut tumit tinggi terlalu lama.

No comments:

Post a Comment